Mata Aina semakin kabur, langkahnya juga sudah tidak lagi sekuat dahulu. Sejak suaminya meninggal dunia, dia tinggal sendirian di sebuah flat kecil di Shah Alam.

Anak-anaknya semua sudah bekerja dan tinggal berasingan. Ada yang di Johor, anak keduanya di Terengganu dan satu-satunya anak perempuan Aina tinggal di Ampang bersama suami dan 5 cahaya mata.

Sesekali, jiran sebelah akan menjenguk dan membantu Aina membeli barang keperluan. Bukanlah anaknya tidak membantu langsung tetapi beliau faham, anak-anaknya juga terikat dengan komitmen keluarga dan kerja masing-masing.

Namun, hakikatnya dia memerlukan lebih daripada itu—bukan sekadar bantuan sekali-sekala, tetapi sistem sokongan untuk mengisi kesunyian diri, membantu pergerakan harian ke sana-sini dan penyediaan makanan kerana dengan matanya sudah kabur, nak hiris bawang pun makan masa yang lama.

Inilah realiti yang dihadapi ramai warga emas, ibu tunggal, penjaga anak istimewa, dan golongan rentan di Malaysia.

Ekonomi penjagaan bukan semata-mata satu sektor yang berpotensi besar untuk berkembang dan memberikan impak ekonomi. Ia adalah penyelesai kepada cabaran sosial yang sedang melanda masyarakat kita.

Untuk itu, kerajaan Selangor kini tampil ke hadapan dengan inisiatif terbaru untuk membangunkan sektor ini melalui program ‘Selangor Care Accelerator 2025’ (XCare).

Anfaal Saari, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita & Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor berkata, "Penjagaan bukan sekadar tanggungjawab individu, tetapi satu ekosistem yang perlu kita bangunkan bersama. Melalui XCare, kami mahu bukan sahaja memartabatkan penjaga, tetapi juga memastikan mereka yang dijaga mendapat layanan terbaik."

Program yang dilancarkan ini selari dengan Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor 2024-2030, khususnya di bawah Teras 4 yang menekankan aspek Pelaburan dan Kerjasama.

Ia bertujuan untuk meningkatkan inovasi dalam sektor penjagaan;, menyokong pertumbuhan perniagaan dalam sektor ini serta mewujudkan ekosistem penjagaan yang mampan.

Antara tarikan utama XCare adalah bengkel kemahiran, sesi mentor-menti dengan pakar industri, serta peluang untuk melawat industri penjagaan di dalam dan luar negara.

Ini memberikan usahawan akses kepada ilmu dan jaringan yang lebih luas bagi memperkasakan perniagaan mereka.

Menjelang 2040 Selangor dijangka mempunyai populasi warga emas seramai 1.3 juta orang.

Peratusan penduduk berumur 65 tahun ke atas sebanyak 6.9 peratus pada 2020 bertambah kepada 8.1 peratus pada 2024. Dengan ini, Selangor sudah pun boleh dikategorikan sebagai ‘ageing society’ (masyarakat menua).

Statistik ini menunjukkan keperluan mendesak untuk membangunkan ekosistem penjagaan yang lebih lestari dan menyeluruh bagi memastikan kesejahteraan warga emas serta golongan yang memerlukan penjagaan khas.

Komitmen Kerajaan Negeri Selangor dalam membangunkan ekonomi penjagaan tidak terhenti di sini.

Sebelum ini, Selangor telah memperkenalkan Geran Pusat Jagaan bagi membantu pengusaha pusat penjagaan sedia ada meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka.

Geran ini bertujuan untuk memberi sokongan kewangan kepada pusat penjagaan warga emas, kanak-kanak, dan OKU agar mereka dapat menyediakan kemudahan yang lebih baik, mempertingkat latihan pekerja, serta memastikan standard penjagaan yang lebih tinggi.

Geran yang dilancarkan pada 15 Januari 2025 menawarkan bantuan sehingga RM5,000 kepada pengusaha taska, pusat jagaan warga emas dan OKU.

“Permintaan yang tinggi untuk pusat-pusat jagaan perlu ditampung dengan penawaran pusat-pusat jagaan yang sah agar kumpulan rentan ini dapat mendapat penjagaan yang berkualiti dan selamat,”

“Oleh itu, geran ini diberikan dengan tujuan untuk menampung kos pendaftaran yang melibatkan penyediaan pelan bangunan, pengubahsuaian, dan pematuhan kepada agensi teknikal,” kata Anfaal.

Dengan adanya XCare sebagai tambahan kepada geran ini, Selangor kini mempunyai strategi dua hala dalam memperkukuh sektor penjagaan—satu untuk membangunkan perniagaan baharu dan satu lagi untuk menyokong pemain industri sedia ada.

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai XCare, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi iaitu

i. Berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), bukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan bukan untung;

ii. Berpendapatan antara RM50 ribu hingga RM200 ribu setahun;

iii. Telah beroperasi sekurang-kurangnya tiga tahun dan mempunyai premis perniagaan di Selangor;

iv. Mempunyai maksimum 10 pekerja;

v. Produk atau perkhidmatan berbentuk solusi penjagaan yang sesuai untuk warga emas, kanak-kanak, OKU, dan penjaga;

vi. Wakil syarikat (pengasas/pengasas bersama/pengurusan atasan) perlu memberikan komitmen sepanjang tempoh program.

Contoh terbaik boleh dilihat melalui inisiatif pusat penjagaan harian warga emas yang semakin berkembang di bandar-bandar seperti Petaling Jaya dan Klang.

Dengan lebih banyak sokongan dan latihan, perniagaan seumpama ini boleh diperluaskan lagi ke kawasan lain seperti Hulu Langat dan Sabak Bernam, memastikan tiada golongan rentan yang terpinggir daripada sistem penjagaan yang berkualiti.

Pendaftaran untuk XCare kini dibuka sehingga 10 Mac 2025. Usahawan yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman sesawang xcare.selcare.com atau menghubungi [email protected]. [optional nak masukkan atau tidak]

Ini adalah peluang keemasan bagi mereka yang mahu menjadi sebahagian daripada transformasi ekonomi penjagaan di Selangor.

"Kita mahu melihat ekonomi penjagaan di Selangor bukan sekadar berdaya maju, tetapi juga berperanan sebagai model untuk negeri-negeri lain di Malaysia," tambah Anfaal.

Dengan langkah ini, Selangor bukan sahaja membina peluang ekonomi baharu, tetapi juga mewujudkan masyarakat yang lebih penyayang dan inklusif.

Kini, tibalah masanya untuk penjagaan diberi nilai yang sewajarnya, bukan sekadar satu tanggungjawab tetapi sebagai satu industri yang berpotensi besar untuk masa depan negara.