BAGAIMANA situasi semasa ekonomi penjagaan di Malaysia?
Untuk memahami keadaannya dengan mudah, Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor (DEPNS) 2024-2030 membahagikan ekonomi penjagaan kepada dua kategori, iaitu permintaan dan penawaran.
Seperti asas ekonomi yang dipelajari di sekolah dahulu, permintaan merujuk kepada keperluan sesuatu produk atau perkhidmatan manakala penawaran merupakan ketersediaan produk atau perkhidmatan tersebut.
Permintaan dalam ekonomi penjagaan, sebahagian besarnya, bergantung kepada jumlah individu yang memerlukan penjagaan dan jenis penjagaan yang diperlukan (bergantung kepada situasi golongan yang memerlukan penjagaan).
Penawaran ekonomi penjagaan pula berkaitan produk atau perkhidmatan penjagaan yang tersedia, termasuk kapasiti ekonomi dan sosial untuk menampung keperluan penjagaan di sesebuah negara.
Keperluan penjagaan, secara umumnya, membabitkan tiga golongan, iaitu warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU).
Apabila dimasukkan elemen penawaran, satu golongan lagi turut menjadi mustahak, iaitu penjaga.
Dengan melihat ekonomi penjagaan dalam konteks permintaan dan penawaran, perbincangan berkenaan isu tersebut menjadi lebih menyeluruh dan lengkap, sekali gus membuka ruang untuk penyelesaian yang lebih berkesan.
Permintaan: Kajian kes di Selangor
Keperluan penjagaan banyak melibatkan analisis populasi, terutamanya populasi golongan tua dan kanak-kanak yang akan menentukan tahap keperluan penjagaan di sesebuah wilayah.
Seperti di Selangor, keperluan penjagaan menjadi semakin signifikan dengan pertambahan populasi warga emas berumur 65 tahun ke atas.
Selangor (juga kebanyakan negeri lain) sedang mengalami situasi peningkatan jangka hayat. Peningkatan itu berlaku disebabkan peningkatan tahap dan akses kesihatan.
Dalam masa sama, kadar kesuburan pula menurun, menjadikan unjuran populasi pada masa hadapan lebih didominasi golongan tua, membentuk apa yang ramai orang sebut sebagai masyarakat menua (ageing society) dan masyarakat tua (aged society).
Selangor ketika ini memenuhi ciri masyarakat menua dengan 8.1 peratus populasinya berusia 65 tahun ke atas pada 2024, meningkat berbanding 6.9 peratus pada 2020.
Berbanding negeri lain, Selangor menduduki tempat kelima dari segi peratusan penduduk warga emas, di belakang Perak (9.9 peratus), Kedah (9.1 peratus), Sarawak (8.7 peratus) dan Perlis (8.3 peratus).
Menjelang 2040, populasi warga emas di negeri itu dijangka mencecah 1.3 juta orang.
Keperluan penjagaan yang mendesak juga ditandakan dengan populasi OKU dan Selangor mengungguli carta.
Sehingga 2022, menurut Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), jumlah OKU berdaftar di Selangor adalah sebanyak 111,095 orang. Ia jumlah tertinggi di Malaysia, yang merangkumi 16 peratus daripada 674,548 OKU berdaftar di seluruh Malaysia.
Penawaran: Kajian kes di Selangor
Perkhidmatan penjagaan di Selangor dibahagikan kepada tiga, iaitu penjagaan di rumah, penjagaan di institusi dan penjagaan dalam komuniti.
Penjagaan di rumah sebahagian besarnya melibatkan perkhidmatan domestik yang tidak berbayar, kebiasaannya dilakukan oleh ahli keluarga wanita.
Penjagaan di institusi pula melibatkan pusat-pusat jagaan yang dibuka secara swasta atau dibiayai kerajaan.
Di Selangor, bilangan pusat jagaan yang berdaftar dengan JKM Selangor adalah sebanyak 700 entiti, yang kebanyakannya merupakan pusat jagaan untuk kanak-kanak (525 buah).
Selain itu, terdapat juga pusat jagaan yang dibiayai penuh JKM, termasuk Rumah Ehsan, Sekolah Tunas Bakti, Taman Sinar Harapan, Rumah Kanak-Kanak dan Rumah Seri Kenangan.
Walaupun merupakan negeri kelima dengan populasi warga emas paling ramai, jumlah pusat jagaan warga emas swasta di Selangor adalah yang terbanyak, iaitu 100 buah (sehingga 2022).
Penjagaan dalam komuniti pula merujuk kepada penjagaan yang dilakukan oleh individu atau kumpulan di luar kelompok keluarga. Ini termasuk oleh pusat jagaan harian swasta, pusat aktiviti warga emas, pusat jagaan berkonsepkan pengajian pondok, perkhidmatan sukarelawan komuniti melalui khidmat bantu di rumah dan perkhidmatan kesihatan dalam talian.
Melihat Malaysia melalui Selangor
Memahami ekonomi penjagaan melalui konteks permintaan dan penawaran membolehkan kita melihat situasi semasa di Malaysia.
Menjadi negeri pertama yang melancarkan dasar berkaitan ekonomi penjagaan, apa yang berlaku di Selangor boleh menjadi gambaran situasi sebenar di Malaysia yang pasti akan diperincikan dengan lebih komprehensif apabila Dasar Ekonomi Penjagaan negara dilancarkan kelak.
Langkah pertama adalah untuk memahami konsep dan situasi semasa agar elemen-elemen lain yang lebih rumit boleh dihadam dengan baik.