“ANAK lelaki warisi harta, anak perempuan warisi kanser”.

Itu antara dialog paling menangkap dalam filem How to Make Millions Before Grandma Dies, sebuah drama kekeluargaan dari Thailand yang pernah tular tahun lalu.

Kata-kata Sew, anak perempuan tunggal Mengju itu pada permukaannya komedik tetapi pada dasar, beri makna mendalam kepada fungsi lelaki dan perempuan dalam struktur keluarga yang tradisional.

Dalam filem itu, Sew - selain anaknya, M - yang banyak meluang masa menjaga kebajikan ibunya yang menghidap kanser, berbanding abang dan adik lelakinya. Namun, rumah keluarga milik Mengju tetap diwarisi anak lelaki.

Dalam banyak budaya, kaum perempuan lebih banyak terkait dengan kerja-kerja penjagaan. Sebab itu juga, pekerjaan seperti jururawat, pembantu rumah dan pengasuh lebih didominasi jantina perempuan.

Malangnya, banyak kerja penjagaan tidak diiktiraf sebagai kerjaya dan tidak dibayar pampasan kewangan.

Atas kesedaran itu, gerakan feminisme membangkitkan isu penjagaan sebagai antara isu penting yang perlu diberi perhatian. Maka, terbitlah istilah ekonomi penjagaan (care economy) atau ekonomi ungu (purple economy).

Makna ekonomi penjagaan

Institut Kesaksamaan Gender Eropah mendefinisikan ekonomi penjagaan sebagai sebahagian daripada aktiviti manusia, baik material atau sosial, yang berkenaan proses menjaga tenaga buruh semasa atau masa hadapan, dan populasi manusia keseluruhannya, termasuk membekalkan makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Entiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Kesaksamaan Jantina dan Pemerkasaan Wanita (UN Women) pula memecahkan ekonomi penjagaan kepada dua, iaitu pekerjaan berbayar dalam sektor penjagaan serta penyediaan kerja menjaga tak berbayar oleh isi rumah dan komuniti.

Pemecahan tersebut penting kerana tumpuan isu ekonomi penjagaan lebih berfokus kepada kategori kedua, iaitu kerja-kerja penjagaan yang tidak dibayar pampasan kewangan (tanpa menafikan masih wujud masalah dalam kerja-kerja berbayar).

Ekonomi penjagaan banyak dikaitkan dengan kerja-kerja penjagaan golongan kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang banyak dilakukan golongan wanita tanpa bayaran.

Institut Global untuk Kepemimpinan Wanita Universiti Kebangsaan Australia berkata, agihan tidak adil kerja-kerja penjagaan didorong stereotaip jantina yang melihat menjaga sebagai kemahiran alamiah wanita. Lebih teruk lagi, stereotaip tersebut menyebabkan kerja-kerja penjagaan yang tidak kurang melelahkan sebagai pekerjaan yang kurang nilai.

Apabila kerja-kerja tersebut dilihat tidak bernilai, ia cenderung tidak dibayar. Malah, kerja-kerja sedemikian yang dibayar pun tidak diberi pengiktirafan yang sepatutnya.

Ini menyebabkan kerugian berganda, khusus kepada wanita, kerana mereka yang terlibat dalam kerja-kerja penjagaan kehilangan peluang untuk meneroka kerjaya yang lebih baik dan dibayar setimpal.

Ekonomi penjagaan di Malaysia

Di Malaysia, terdapat beberapa data membimbangkan yang dibangkitkan Wakil Residen Malaysia, Singapura dan Brunei Program Pembangunan PBB (UNDP), Nilay Banerjee dalam laporan Ekonomi Penjagaan Malaysia: Analisis Landskap.

Pertama, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) wanita adalah sebanyak 56 peratus, jauh ditinggalkan lelaki pada 83 peratus.

Kedua, penyertaan tenaga buruh wanita yang rendah itu berlaku ketika negara menghasilkan lebih banyak graduan wanita.

Kajian UNDP juga mendapati, 65 peratus wanita meninggalkan pekerjaan atas sebab memberi tumpuan kepada keluarga, 48 peratus kerana tiada keseimbangan kerja-kehidupan, 38 peratus untuk menjaga ahli keluarga dan 35 peratus kerana kos penjagaan anak terlalu tinggi.

Data-data tersebut menunjukkan betapa mustahak untuk kerajaan memberikan tumpuan kepada ekonomi penjagaan, lebih-lebih lagi apabila negara kini memasuki kategori negara menua. Lebih banyak penjagaan diperlukan dan jika tiada apa-apa yang berubah, lebih banyak wanita akan kehilangan potensi kerjaya.

Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor

Selangor antara negeri yang terkehadapan dalam mengangkat agenda ekonomi penjagaan dalam perancangan pembangunannya.

Tahun lalu, Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor (DEPNS) 2024-2030 dilancarkan oleh kerajaan negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita & Keluarga, Kebajikan Masyarakat & Ekonomi Penjagaan.

Dasar tersebut, antara lain, bertujuan mengiktiraf sektor penjagaan sebagai sektor yang berdaya maju dan menjadi tonggak baharu yang berpotensi besar bagi ekonomi Selangor.

Selain itu, dasar itu juga digubal untuk mengiktiraf dan mengangkat kebajikan semua penjaga formal dan tidak formal serta memastikan kebajikan individu, tidak kira usia, jantina dan pendapatan, supaya dapat dijaga secara holistik.

Menurut Buku Dasar DEPNS, dasar itu akan memberi manfaat kepada kepada kumpulan sasar, iaitu warga emas, kanak-kanak, OKU serta penjaga formal dan tidak formal, dengan menekankan perkongsian tanggungjawab seluruh masyarakat (whole-of-society).

DEPNS juga akan menggariskan strategi-strategi dan tindakan-tindakan dengan menjajarkan inisiatif sedia ada serta mengemukakan usul-usul kerjasama baharu dan holistik yang boleh dilaksanakan dalam tempoh jangka pendek dan sederhana, sehingga 2030.