Sebahagian besar warga tua di Malaysia terdiri daripada masyarakat daripada golongan B40 dan M40, begitulah yang dinyatakan dalam laporan Bank Dunia pada 2020 dan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2021.
Statistik ini amat membimbangkan kerana Malaysia dijangka menjadi negara tua dengan 14 peratus populasi berada di atas umur 65 tahun. Peratusan ini bersamaan dengan 5.5 juta orang penduduk tergolong dalam kelompok ini.
“Golongan M40, walaupun mereka adalah kelas pertengahan akan bersara dalam keadaan miskin. Kita perlu faham keadaan ini. Golongan B40 sudah tentu akan bersara dalam keadaan yang daif dan memerlukan pertolongan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sterra, Wan Rashidi Wan Yahya.
Beliau menjelaskan perkara itu ketika membentangkan topik ‘Memperkasa Sinergi Sektor Swasta dalam Ekonomi Penjagaan’ di Bengkel Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan Petaling Jaya 2025-2030 pada awal Februari.
JANGKA HAYAT SIHAT
Menyambung penjelasan, Wan Rashidi berkata kumpulan besar penduduk tua menjelang 2040 akan berada di Selangor dan Kuala Lumpur. Oleh itu fasiliti untuk keperluan golongan ini perlu ditingkatkan di sini.
Satu lagi perkara yang jarang dibincangkan adalah jangka hayat sihat (healthy life expectancy hale) bagi rakyat Malaysia pada umur 60 tahun kehidupan hanyalah 14.6 tahun.
Laporan World Health Organisation (WHO) ini turut menyenaraikan perbandingan Malaysia dengan beberapa negara lain seperti Singapura (20.0 tahun), Jepun (20.4 tahun), Australia (19.0 tahun), Jernam (18.5 tahun) dan United Kingdom (18.3 tahun).
“Secara umum selepas mencecah umur 60 rakyat kita akan hidup sihat sehingga umur 74.6 tahun dan selepas itu mula mengalami sakit dan sebagainya,” tambah beliau.
ASPEK PERSEDIAAN
Bagi penyedia perkhidmatan penjagaan, Wan Rashidi berkata para pengusaha perlu memahami perubahan demografi dalam mengenal pasti keperluan bakal pelanggan dalam skop yang lebih luas.
Memetik kajian Universiti Kebangsaan Malaysia yang menunjukkan 2.1 juta wanita berumur lebih 50 tahun memilih untuk tidak berkahwin walaupun mempunyai karier yang stabil dan simpanan kewangan yang besar, Wan Rashidi menegaskan keperluan mereka pastinya berbeza dengan kelompok demografi yang berbeza.
Beliau turut menyentuh keperluan penjagaan kesihatan mental bagi warga emas.
“Ayah saya meninggal pada 2016…selepas beliau meninggal, kesannya dapat dilihat pada ibu saya yang amat merindui bapa saya sehingga mengakibatkan kemurungan. Walaupun saya cuba mengatasi kesunyian beliau dengan membawanya tinggal bersama saya tetapi tidak mengubah keadaan.
“Rupa-rupanya hal yang menggembirakan ibu saya adalah apabila beliau dapat ke masjid dan menyertai kelas-kelas pengajian yang dianjurkan. Kami dapat melihat daripada matanya terpancar kegembiraan bila bercerita kepada kami kisah hariannya di masjid,” cerita Wan Rashidi.
Apa yang cuba disampaikan beliau adalah ekonomi penjagaan tidak perlu hanya fokus kepada perkhidmatan bersifat fizikal tetapi boleh juga dikembangkan kepada perkhidmatan bersifat sokongan emosi.
MAMPUKAH KITA?
Kos hidup akan terus meningkat dan para pengusaha perkhidmatan penjagaan perlu mengambil kira perkara ini untuk memastikan produk yang ditawarkan sesuai dengan kemampuan pasaran.
Beliau turut memetik kejadian 34 warga emas uzur yang berhadapan risiko diusir dari rumah sewa yang dijadikan pusat jagaan orang tua di Kuala Selangor yang berlaku pada awal tahun ini.
Dalam kejadian itu pengusaha Pusat Jagaan Warga Tua SRA menghadapi kekangan kewangan selepas Lembaga Zakat Selangor (LZS) memotong peruntukan kepada 27 penghuninya yang berdaftar kepada RM800 sebulan berbanding RM1,850 sebelumnya.
Pemotongan itu dilakukan kerana pihak LZS sendiri berhadapan dengan situasi kutipan zakat yang tidak dapat menampung keseluruhan pembiayaan sebelum ini.
Pada 2024 LZS menerima zakat sebanyak RM845 juta tetapi membelanjakan lebih RM900 juta sehingga ia terpaksa menggunakan simpanannya untuk menampung perbelanjaan.
Menurut pengasas pusat jagaan itu, Sharil Hussein, penghuninya terdiri daripada warga emas yang ditinggalkan di hospital tanpa dituntut ahli keluarga.
Ini adalah bukti yang menunjukkan setiap warga masyarakat perlu memikirkan dengan serius tentang persiapan diri dalam menghadapi hari tua.
KURANG PERSIAPAN
Pada Jun tahun lalu kegusaran tentang risiko golongan pekerja untuk jatuh ke dalam kemiskinan pada usia tua diluahkan Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.
Jelas beliau, situasi ini boleh berlaku akibat daripada ketiadaan liputan program pencen dan persaraan rasmi.
Ini berlaku selari dengan perubahan landskap pekerjaan di negara ini yang semakin menjurus ke arah pekerjaan tidak formal seperti pekerja gig dan golongan bekerja sendiri.
Ahmad Badri kemudiannya menyarankan agar kerajaan membantu dan meningkatkan simpanan persaraan pekerja sektor tidak formal melalui program i-Saraan dengan menggalakkan caruman sukarela kepada KWSP.