Ekonomi penjagaan - sekali dengar, ia kedengaran seperti satu istilah akademik yang kompleks, namun hakikatnya ia adalah perkara yang melibatkan hampir setiap keluarga di Malaysia.

Sudah menjadi satu tanggung jawab bagi ahli keluarga untuk menjaga kebajikan ahli keluarga yang lain. Ibu bapa menjaga anak yang masih kecil, si anak menjaga orang tuanya, dan ada juga ahli keluarga yang perlu dibantu kerana tidak mampu menguruskan diri sendiri dalam rutin hidup seharian.

Tahukah anda bahawa tugas menjaga golongan rentan ini bukanlah sekadar kerja amal, tetapi satu industri yang sedang digilap sebagai penyumbang kepada perkembangan ekonomi negara?

Tidak ramai yang menyedari peluang dalam industri ini. Kebanyakan kita masih melihatnya sebagai urusan domestik yang perlu ditangani oleh keluarga masing-masing.

Sudah tiba masanya untuk kita melihatnya bidang penjagaan sebagai komponen utama dalam pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial negara.

PERLU DIPANDANG SERIUS

Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa populasi warga emas di Malaysia telah meningkat kepada 7.3 peratus pada 2022. Ini menjadikan Malaysia sudah tergolong dalam kategori ‘negara menua’ (ageing society).

Mengikut standard Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations), tahap penuaan penduduk sesebuah negara dikira berdasarkan peratusan populasi penduduk penduduk berumur 65 tahun ke atas.

Ketua Penolong Setiausaha Unit Corporate Social Responsibility (CSR) Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat (KPWKM), Fatimah Zuraidah Salleh berkata Malaysia pada 2030 Malaysia dijangka mencapai status ‘negara tua’ (aged society) dengan 15.3 peratus populasi penduduk atas 65 tahun.

Pada masa yang sama, kadar kelahiran negara juga semakin menurun. Landskap kesuburan Malaysia telah mengalami perubahan yang ketara dengan penurunan daripada 4.9 anak pada 1970 kepada 1.6 anak pada 2022.

Pendedahan itu dibuat ketika beliau membentangkan topik ‘Menyepadu Ekonomi Penjagaan Kepada Pembangunan Nasional’ di Bengkal Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan Petaling Jaya 2025 - 2030 pada Februari.

Menurut Fatimah, Malaysia sedang menghadapi cabaran besar dari segi tenaga kerja penjagaan.

"Kita masih belum memiliki rangka strategik yang menyeluruh untuk industri penjagaan di Malaysia. Kekurangan tenaga kerja mahir, kurangnya insentif, dan kebergantungan kepada pekerja asing adalah antara isu utama yang perlu ditangani segera,” kata beliau.

PELUANG KEPADA WANITA

Pengembangan sektor Ekonomi Penjagaan tidak dapat dipisahkan dengan usaha melibatkan lebih ramai golongan wanita untuk bekerja.

Penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan masih rendah. Walaupun ada peningkatan tetapi jumlahnya masih lagi rendah. Pada 2022 Malaysia hanya mencapai 55.9 peratus.

“Justeru di bawah kerangka ekonomi Madani YAB Perdana Menteri telah menetapkan dalam tempoh 10 tahun iaitu pada 2033 kita akan mencapai sebanyak 60 peratus wanita dalam pasaran pekerjaan,” kata beliau.

Tanpa sistem sokongan yang baik, ramai wanita terpaksa meninggalkan pekerjaan mereka untuk menjaga anak-anak atau ibu bapa yang sudah uzur.

Di Selangor, kadar penyertaan tenaga kerja wanita ialah 69.9%, antara yang tertinggi di Malaysia. Tapi, masih ada jurang dengan penyertaan lelaki yang berada pada kadar 83.5%.

Ini bermaksud, ramai wanita yang berpotensi untuk terlibat dalam alam pekerjaan tetapi akhirnya tersekat kerana tanggung jawab berkaitan penjagaan.

JALAN YANG JARANG DITEMPUH

Ketika bercakap tentang ekonomi penjagaan, Fatimah berkata negara sebenarnya sedang menelusuri satu “jalan yang jarang ditempuhi.”

“Ini bukan laluan yang mudah. Ada banyak onak dan duri (seperti) undang-undang lapuk, kekurangan tenaga kerja mahir, serta kurangnya pengiktirafan terhadap kerja-kerja penjagaan tidak berbayar,” tegasnya.

Cabaran utama adalah apabila sektor penjagaan dilihat sebagai sesuatu yang dilakukan secara sukarela dan atau dalam bentuk institusi.

Sebagai contoh, anak-anak masih dihantar ke taska untuk penjagaan, begitu juga orang tua-tua dihantar ke pusat jagaan warga emas.

“Dalam model baru, sudah ada perkhidmatan datang ke rumah, melalui telekomunikasi, dan ada caj kepada perkhidmatan yang diberikan. Justeru tindakan yang dibuat negeri Selangor untuk melihat semula sudut perundangan perkara ini perlu dipuji,” tambah beliau.

CABARAN LAIN

Selain isu status negara menua dan kurangnya penglibatan wanita dalam tenaga buruh, Fatimah turut berkongsi isu-isu lain yang memberi cabaran kepada industri penjagaan.

Ketiadaan hab penjagaan di peringkat ASEAN dan antarabangsa turut menyukarkan kerajaan membuat rujukan dalam menetapkan piawaian dan garis panduan.

Untuk itu, kerajaan berhasrat untuk menubuhkan satu hab dalam negara sebagai tempat belajar dan mendapatkan latihan yang bersesuaian.

Isu seterusnya adalah ketiadaan pengiktirafan terhadap aktiviti penjagaan berbayar dan tidak berbayar sebagai kerja ‘produktif’ yang menyumbang kepada ekonomi dan masyarakat.

“Kita masih berpandangan bahawa penjagaan terutamanya yang dilakukan di rumah oleh suri rumah atau orang yang tidak bekerja semata-mata untuk melakukan kerja penjagaan sebagai sesuatu yang tidak perlu dibayar,”

“Ini adalah satu masalah besar. Kalau kita hantar anak ke pusat jagaan, kita bayar. Kalau hantar orang tua ke pusat jagaan, kita bayar. Tetapi apa jadi kepada orang yang sukarela sanggup menjaga dari pagi hingga ke petang, dari siang hingga ke malam tetapi mereka tidak bayar? Kita belum ada data tentang perkara ini.” jelas Fatimah.

Beliau turut menyentuh isu kekurangan tenaga kerja mahir dan profesional serta ketiadaan kerangka strategik dan pelan tindakan industri penjagaan di Malaysia sebagai isu lain yang memerlukan perhatian untuk ditangani.

MODEL NEGARA LUAR

Seperti Malaysia, beberapa negara lain turut mengalami isu penuaan warga dan telah mengambil langkah proaktif dalam menangani cabaran ekonomi penjagaan. Malaysia boleh belajar daripada pengalaman mereka untuk disesuaikan dengan situasi di sini.

Negara Jepun menghadapi cabaran penuaan populasi yang serius. Pihak kerajaan telah melaksanakan skim penjagaan kesihatan universal dan memperkenalkan subsidi untuk perkhidmatan penjagaan di rumah.

Negara Australia memperkenalkan skim National Disability Insurance Scheme (NDIS) yang menyediakan sokongan kepada individu kurang upaya dengan memberikan dana secara langsung untuk mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan.

Konsep sama diperkenalkan di Korea Selatan melalui program Long-Term Care Insurance (LTCI). Ia menyediakan insurans penjagaan jangka panjang untuk warga emas, termasuk perkhidmatan penjagaan di rumah dan pusat jagaan harian.

Di Sweden pula, perlaksanaan sistem cuti penjagaan membolehkan ibu bapa berkongsi tanggungjawab menjaga anak-anak mereka.

Kanada pula mengiktiraf kerja penjagaan tidak berbayar dalam sistem pencukaian mereka dan menawarkan pelbagai skim bantuan kewangan untuk penjaga tidak formal.

PERJUANGAN MASIH PANJANG

Ekonomi penjagaan bukan sekadar isu sosial, tetapi satu cabang ekonomi yang besar dan berpotensi untuk berkembang pesat.

Masyarakat perlu melihatnya bukan sebagai beban, tetapi sebagai peluang untuk mencipta pekerjaan, meningkatkan kesejahteraan masyarakat, dan membina sistem sokongan yang lebih kukuh untuk rakyat.

"Kita perlukan komitmen semua pihak—kerajaan, sektor swasta, dan masyarakat. Jika kita benar-benar serius, kita boleh pastikan ekonomi penjagaan bukan lagi satu 'jalan yang jarang ditempuhi,' tetapi satu laluan utama ke arah masyarakat yang lebih inklusif dan maju." kata Fatimah.

Persoalannya sekarang, sejauh mana masyarakat Malaysia sanggup beradaptasi dengan cabaran baru yang berada di depan mata? Adakah kita bersedia untuk melabur dalam sektor ini atau adakah kita akan terus membiarkan berjuta-juta penjaga di Malaysia terus bekerja tanpa pengiktirafan, tanpa gaji, dan tanpa sokongan?

Pilihan ada di tangan kita.