TUMPUAN rantau ASEAN terhadap ekonomi penjagaan ditandakan dengan penerbitan Rangka Kerja Komprehensif ASEAN tentang Ekonomi Penjagaan pada 2022.

Dalam rangka kerja tersebut, ASEAN berhasrat mengenal pasti dan menganalisis isu-isu ekonomi penjagaan serantau selain menggalakkan amalan, platform dan latihan tinjauan terbaik untuk mengendali isu-isu tersebut.

Selain itu, rangka kerja itu juga diharap dapat menyediakan mekanisme sesuai untuk memandu dan membantu badan-badan berkaitan dengan maklumat yang selaras serta pemantauan kerap terhadap semua usaha ASEAN.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha ASEAN untuk Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC), Ekkaphab Phanthavong berkata, skop rangka kerja tersebut bukan sahaja meliputi kerja-kerja langsung dan berhubungan, malah bidang lain yang mula timbul selepas pandemik Covid-19.

Secara keseluruhannya, Rangka Kerja Komprehensif ASEAN tentang Ekonomi Penjagaan menggariskan enam strategi yang dijangka dapat memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan ASEAN berkenaan ekonomi penjagaan.

Menggalakkan penuaan sihat dan memanfaatkan peluang dalam masyarakat menua di Asia Tenggara

Menurut ASEAN Statistical Brief Volume III 2023, populasi tua di negara-negara ASEAN meningkat daripada 5.3 peratus pada 2000 kepada 7.5 peratus pada 2022.

Selain cabaran, peningkatan populasi tua di Asia Tenggara juga membawa bersama peluang dan ASEAN mahu memanfaatkan peluang tersebut.

Sehubungan itu, galakan terhadap penuaan sihat dalam kalangan bakal warga emas dan warga emas akan diusahakan bagi membolehkan golongan tersebut memaksimumkan kebolehan serta terus hidup secara mandiri selama mungkin.

Polisi penuaan sihat yang berjaya boleh mengurangkan beban penjagaan untuk keluarga dan kerajaan.

Peningkatan populasi tua juga dilihat sebagai peluang perkembangan ekonomi perak (sektor khusus bagi produk dan perkhidmatan untuk golongan tua) di Asia Tenggara. Ini termasuk penerokaan teknologi perubatan dan pelancongan perak.

Meningkatkan peranan ekonomi penjagaan dalam membina ASEAN yang kalis bencana

Institusi kesihatan seperti hospital memainkan peranan penting dalam situasi bencana. Mereka perlu bersedia dengan pelan kontingensi untuk bertindak balas dengan berkesan apabila berlaku apa-apa bencana.

Ini bermakna, peristiwa bencana bukan sahaja memberi kesan besar kepada manusia dan ekonomi, malah institusi kesihatan yang perlu menggerakkan aset serta kepakaran sebagai tindak balas segera. Kesannya lebih besar jika institusi kesihatan tidak mempunyai persediaan mencukupi bagi menghadapi bencana.

Institusi kesihatan, yang termasuk golongan penjaga, berhadapan cabaran untuk bersedia menghadapi bencana. Ini kerana kerja-kerja penjagaan bencana ialah bidang baharu secara relatif dan ketika ini, masih kurang pendidikan formal dan latihan dalam pengurusan bencana.

Malah, golongan penjaga juga berhadapan tahap kesediaan yang tidak mencukupi, isu undang-undang dan etika serta isu berkaitan peranan pekerja penjagaan dalam situasi bencana.

ASEAN berhasrat mengatasi cabaran-cabaran tersebut supaya institusi kesihatan di Asia Tenggara lebih bersedia menghadapi bencana. Dan ini boleh dilakukan dengan memberikan tumpuan kepada ekonomi penjagaan.

Mempercepat inovasi teknologi dan transformasi digital ekonomi penjagaan dalam ekonomi di negara-negara ASEAN

Ada beberapa isu yang membelenggu kerjasama serantau Asia Tenggara dalam transformasi digital. Ini termasuk jurang digital, keterhubungan digital dan kekurangan kemahiran untuk memanfaatkan inovasi yang dipacu teknologi.

Namun, krisis kesihatan akibat pandemik Covid-19 mendesak transformasi digital yang lebih pantas, sekali gus mewujudkan ruang dan peluang, terutamanya dari segi inovasi dan ketercapaian.

Bagi ASEAN, peluang kemajuan digital dan teknologi perlu diseimbangkan dengan kepentingan masyarakat.

Oleh itu, apa-apa inovasi teknologi di rantau itu perlu menggalakkan keterangkuman untuk semua pihak. Ini dapat menghindarkan penyisihan golongan tertentu dalam teknologi, seterusnya mengekang jurang teknologi.

Sehubungan itu, ASEAN melihat potensi ekonomi kreatif yang meraikan inovasi teknologi dan transformasi digital sebagai sektor penting yang boleh memacu pemulihan serantau. Ini termasuk industri-industri berasaskan pengetahuan seperti seni dan kraf, muzik, persembahan, reka cipta, penerbitan, filem, fesyen dan fotografi.

Transformasi digital yang seimbang dan terangkum membolehkan ekonomi penjagaan menangani cabaran dunia baharu, seterusnya memajukan sektor itu dalam negara-negara ASEAN.

Membina keluarga yang kuat dan bingkas sebagai asas ekonomi penjagaan

Mengambil pengajaran daripada Covid-19, ASEAN akan memberi tumpuan kepada pemupukan sifat solidariti dan kebingkasan (resilience) dengan meletakkan institusi keluarga sebagai asas.

Perintah kawalan pergerakan sepanjang pandemik Covid-19 meletakkan keluarga dalam jarak dekat dalam tempoh lama, sebahagiannya menimbulkan keresahan dan tekanan, malah mewujudkan konflik seperti penderaan domestik serta keganasan.

Menyedari kepentingan kesihatan mental yang setaraf dengan kesihatan fizikal, negara-negara ASEAN mahu bekerjasama menggalakkan kesejahteraan mental, termasuk dalam persekitaran kerja. Ini melibatkan inisiatif seperti susunan kerja anjal, sistem sokongan pekerja, skim cuti, kemudahan penjagaan anak dan perlindungan materniti.

Keseimbangan kerja-kehidupan serta tumpuan terhadap kesihatan mental dan fizikal menggalakkan pembinaan keluarga sejahtera, yang akan menyumbang kepada hasrat ASEAN untuk masyarakat penyayang, keharmonian sosial dan nilai-nilai kemanusiaan.

Meningkatkan perlindungan sosial, tanpa menyisihkan sesiapa

Rantau Asia Tenggara menikmati kemajuan ekonomi dan globalisasi yang subur, namun ia turut membuka ruang kepada eksploitasi dan penindasan tenaga kerja.

Dalam meningkatkan perlindungan sosial buat pekerja, negara-negara ASEAN perlu memastikan tenaga kerjanya, khususnya golongan yang rentan, tidak ketinggalan dan tersisih.

Eksploitasi dan penindasan sering berlaku kepada pekerja imigran yang berjasa meningkatkan kecekapan pasaran buruh serantau. Banyak pekerja imigran dinafikan hak perlindungan sosial, termasuk hal-hal yang asas.

Kerja-kerja penjagaan juga mendedahkan jurang jantina dalam ekonomi, apabila kebanyakan kerja penagaan tak berbayar melibatkan penjaga wanita. Mereka bukan sahaja dinafikan imbuhan kewangan, malah tidak merasa perlindungan sosial yang dinikmati golongan pekerja lain.

Jika isu struktural dan sistemik sebegini tidak dibaiki, defisit kualiti kerja penjagaan akan bertambah teruk dan mewujudkan krisis penjagaan yang dahsyat.

Kebingkasan dan penjagaan alam sekitar

Tiada sektor ekonomi yang boleh dipisahkan dengan wacana alam sekitar. Ini termasuk ekonomi penjagaan yang turut terkesan dengan isu alam sekitar seperti perubahan iklim dan bencana alam.

ASEAN melihat kepentingan untuk negara ahlinya membentuk semula ekonomi ke arah penyelesaian berasaskan alam dan hijau sebagai persediaan menghadapi pandemik dan bencana masa hadapan.

Ini termasuk melonjakkan pelaburan dalam pemulihan hijau, memelihara alam sekitar di seluruh ASEAN dan menggalakkan penciptaan pekerjaan hijau.